Saturday 20 August 2011

Pecutan 10 malam terakhir


Bulan Ramadhan sudah hampir tiba ke penghujungnya. Wahai muslimin dan muslimat sekalian, rebutlah pahala di sepuluh malam yang terakhir ini sesungguhnya di sepuluh malam yang terakhir ini. 

Pernah di malam itu al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia, Baitul Izzah. Mukmin sejati semakin menggiatkan ibadah mereka khususnya di seluruh 10 malam terakhirnya, yakin pahala di salah satu dari malam-malam tersebut digandakan pahalanya sebanyak ibadah yang sama dikerjakan selama 1000 bulan!

Itulah malam Lailatul Qadar. Pada 10 malam tersebut, demi berebut untuk mendapatkannya, Rasulullah S.A.W mengasingkan dirinya dari isteri-isterinya, beriktikaf di dalam Masjid Nabawi, beribadah dan bermunajat kepada Allah S.W.T sambil diikuti oleh para Sahabat R.A.

Allah SWT sendiri mengisytiharkan sedemikian dalam firmanNya:
 
      “Sesungguhnya Kami menurunkannya di dalam malam Al-Qadr, dan adakah kau tahu apa itu Malam Al-Qadr? Malam Al-Qadr itu lebih baik dari sebulan bulan. Pada malam itu turunlah para malaikat, dan Ruh(Jibril) dengan izin Tuhan mereka untuk segala urusan. Sejahteralah malam itu sehingga terbitnya fajar”  Surah: AL-Qadr ,ayat 1-5.

Diantara ibadah-ibadah yang boleh dilakukan ialah qiamulail, puasa fardhu, berbuka, solat Tarawih, tilawah al-Quran, berdoa, zikir, istighfar, memuhasabah diri, merancang untuk amalan diri dan sebagainya.

Beberapa tips dalam merebut pahala dan kelebihan malam Lailatul Qadar :

1. Bersedia untuk merebutnya dari sekarang terutama disegi keyakinan, kesungguhan merebut peluang tahunan ini dan merancang kalender harian agar mengosongkan 10 malam-malam terakhir tersebut untuk   tujuan itu semata-mata; tidak untuk kesibukan lain.

       “Barangsiapa yang mendirikan malam Al-Qadr dengan penuh keimanan dan berkira-kira,  nescaya akan diampunkan buatnya segala dosanya” Hadith riwayat Bukhari.

2. Memahami bahawa dimana jawatan, kedudukan dan kesibukan kita di dunia ini, tujuan utama manusia dijadikan ialah untuk beribadah kepada Allah S.W.T dengan penuh keikhlasan, bersedia untuk hari (Akhirat) yang tiada gunanya lagi harta dan anak-anak, melainkan orang yang bertemu Allah dengan hati   yang sejahtera.

3. Putuskan dari sekarang masjid mana yang akan kita gunakan untuk iktikaf, siang dan malam, samada sebahagian atau 24 jam sehari. Pastikan AJK masjid tersebut memahami ibadah iktikaf dan qiyamullail 10 malam terakhir agar tidak berlaku masalah pengurusan dengan mereka yang tidak memahaminya.

4. Dapatkan teman agar sama-sama dapat melakukan ibadah tersebut secara berjemaah.

5. Jika anda bekerja di bawah majikan, kenalpasti hari-hari yang akan dimohon cuti agar dapat lebih hari  untuk beriktikaf di masjid. Jika anda tidak dapat mengambil cuti kerja, anda boleh cuba berktikaf di   masjid sepenuhnya dalam cuti hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad.

6. Jika anda seorang pelajar, cuba habiskan kerja-kerja rumah atau assignments dari sekarang agar tidak  tertimbun pada 10 malam terakhir Ramadan. Beli tiket balik kampung lebih awal agar tidak disibukkan   mencari tiket nanti.

7. Bersedia untuk Aidil Fitri lebih awal agar kita tidak disibukkan nanti dengan membeli belah, memasang langsir, membuat kuih-muih, menyiap atau menjahit pakaian Raya dan sebagainya seperti yang sering berlaku pada ramai orang yang kurang memahami dan menghayati kelebihan 10 malam terakhir   Ramadan.

8. Memahami bahawa asas perubahan ke arah kebaikan pada seseorang bahkan pada sesebuah umat ialah  pembaikan jiwa yang ada di dalam diri masing-masing. Madrasah 10 Malam Terakhir Ramadan yang bakal   dilalui boleh turut membantu mencapai ke arah perubahan tersebut.

Ramadhan masih belum berakhir. 10 malam terakhir masih belum tamat. Hidupnya kita lagi pada hari ini tanda Allah masih memberikan peluang kepada kita.Maka sepatutnya kita tunjukkan kesyukuran kita dengan serius mempertingkatkan amalan. Apakah kita tidak beriman dengan ayatNya?

“Sekiranya kamu bersyukur, maka Aku akan tambahkan(nikmat pemberianKu)” 
Surah Ibrahim; ayat 7.
 
Semoga Allah mengurniakan ketaqwaan kepada kita setelah menjalani ibadah di bulan Ramadan ini. Kita keluar darinya nanti dengan beroleh rahmah, keampunan dan selamat dari api neraka. Amin.

  
Pas Ipoh Timur -Jadi bergeraklah wahai hamba Allah, wahai pejuang Islam.Bergerak merembat segala peluang yang Dia wujudkan untuk kamu hambaNya. Selagi waktu dan nyawa masih ada pada kita.

No comments:

Post a Comment