Tuesday, 6 November 2012

Pemuda UMNO hipokrit



IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menempelak Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak dan Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri Perak yang mencabar agar menyatakan pendirian berikutan  kenyataan Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden PKR yang dikatakan membenarkan kejadian murtad oleh umat Islam di Malaysia. 

Persoalan mudah kami, siapakah yang telah berkuasa memerintah negara Malaysia lebih 50 tahun? 

Bukankah sebelum ini pada tahun 2006 kenyataan daripada Tan Sri (Dr) Haji Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak telah mengatakan menerima laporan menerusi kajian sekumpulan Melayu profesional dan intelektual bahawa terdapat jumlah mereka yang murtad tersebut mencapai sehingga 100,000 orang? 

Di mana Pemuda Umno ketika itu?," soal Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss.

Beliau mempersoalkan siapakah yang sebenarnya membenarkan kes murtad berleluasa di negara ini dan di Perak khasnya? 

Siapakah yang cuba mengamalkan kembali  'ancak' di Manong, Kuala Kangsar dulu yang jelas boleh mengelirukan umat Islam? 

Siapakah yang menganjurkan program-program hiburan ala barat sehingga membawa anak-anak muda lalai kepada Agama? 

Bukankah juga Parti-Parti dalam Komponen BN terutamanya MCA melalui Presidennya yang secara jelas menyerang Islam tanpa ada amaran keras daripada Pemuda Umno? ," soalnya lagi.

Katanya, Pemuda Umno tidak ikhlas membela Islam dan memertabatkan Islam di mata orang bukan Islam sedangkan mereka berkuasa melakukannya. 

Naib Ketua Pemuda PAS Pusat itu menjelaskan, Pemuda Umno dan BN sudah ketandusan idea untuk terus menjadi tonggak Umno dan BN.

Ini juga katanya jelas bahawa Pemuda BN ingin meletakkan kegagalan mereka menjaga Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sebagai Agama rasmi kepada pihak terutamanya melalui kenyataan Nurul Izzah yang telah diputar belit oleh media tertentu. 

"Saya bersedia mencabar Pemuda Umno terutamanya Ketua Pemudanya untuk berdebat di atas kepentingan Islam jika mereka benar-benar ikhlas dan berani untuk bersemuka. 

"Tidak perlu melalui sidang media dan kenyataan media semata-mata dan akhirnya semua tindakan akan merugikan Islam kembali," tegas Yang Dipertua PAS Kuala Kangsar itu.

No comments:

Post a Comment